September 7, 2010

You Can Be WhateverYou Want To Be!

Motivasi untuk diriku... yang merasa tidak yakin dengan apa yang ingin ku lakukan dan apa yang ingin ku impikan....

There is inside you

all of the potential

to be whatever you want to be,

all of the energy

to do whatever you want to do.

Imagine yourself

as you would like to be,

doing what you want to do,

and each day, take one step

towards your dream.

And though at times it may seem too

difficult to continue,

hold on to your dream.

One morning you will awake to find

that you are the person you dreamed of,

doing what you wanted to do,

simply because you had the courage

to believe in your potential

and to hold on to your dream.

~ Donna Levine ~ 

August 8, 2010

Ramadan Kareem to everyone!


Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan....
Ramadan yang ditunggu akan menjelang tidak lama lagi. Sepertinya ramai yang tidak sabar-sabar untuk menyambutnya dan berdoa semoga Allah sampaikan kita semua kepada Ramadan tahun ini. Memikirkan mengenai bulan yang amat istimewa ini, menjadikan aku excited tiba-tiba. Kerana hanya dalam bulan ini kita diberi kesempatan untuk menguatkan salah satu rukun Islam kita yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun dan hanya dalam masa 30 hari sahaja! 30 hari? mungkin ianya akan terasa lama jika seseorang itu tidak sabar untuk menyambut hari raya tetapi sebenarnya 30 hari adalah jangka masa yang terlalu pendek jika dibandingkan dengan jumlah masa setahun (365 hari).

Kita hanya diberi masa 30 hari untuk melakukan apa sahaja untuk memastikan satu rukun Islam kita ini kuat supaya ianya kukuh, tahan dan kental dalam menghadapi apa jua ujian dan cubaan hidup di dunia ini sebelum kita sampai kepada Ramadan seterusnya, itupun jika kita masih lagi diberi kesempatan untuk hidup!!

Oleh itu, nasihat untuk diri sendiri terutamanya... Rancanglah setiap detik dalam bulan Ramadan ini untuk sentiasa berbuat amal, ibadah, kebajikan dan kebaikan kerana hanya di bulan ini pintu kebaikan (Syurga)dibuka dan pintu Neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai. (Al-Bukhari & Muslim)

Semoga perancangan baik kita nanti akan meraih kita kepada rahmat dan kasih sayang Allah dan menempatkan kita nanti dalam Syurga-Nya...

July 16, 2010

Bila Tiba Masanya...

Jam 12 lebih pagi tadi, kami dikejutkan dengan pemergian ibu sepupu kami di kampung. Ayah dan adik telefon mengkhabarkan berita ini setelah ayah diberitahu oleh abe Lie, suami arwah bahawa arwah telah pergi dalam jam sebelas lebih. Terasa sayu, sedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang yang sangat baik dan penyayang dan pemurah sepanjang hidupnya. Tidak sangka tarikh 16 Julai menjadi tarikh pemergiannya setelah lama bersabar, tabah menanggung sakit ujian Allah kepadanya. Semoga arwah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh & solehah serta dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Tidak terbalas segala budi baiknya kepada kami sekeluarga sepanjang hidupnya. Sentiasa bermurah hati membantu tanpa diminta tidak kira wang ringgit dihulur, tenaga dicurahkan atau masa diluangkannya. Arwah dan keluarga hidup bersederhana, rendah diri walaupun dari kalangan orang yang berharta.

Tak kulupa pada hari pertunangan dan pernikahan kami dua tahun yang lepas, beliau dan keluarganyalah yang banyak membantu menjayakan majlis. Tidak terhitung budi baik yang mereka taburkan kepada kami. Dari pagi sampai malam, mereka luangkan masa untuk membantu. Membeli dan melengkapkan segala macam untuk majlis kami. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas segala kebaikan mereka.... Selepas majlis perkahwinan kami di kedua-dua belah pihak, arwah menjemput pula kami datang ke rumahnya. Kami dirai penuh istimewa dengan jamuan makan. Amat terharu kerana bukan sahaja mereka banyak membantu tetapi sanggup pula raikan kami. Sebelum pulang, kami dibekalkan pula dengan hadiah dari mereka sekeluarga. Ya Allah....

Juga tak kulupa setelah dua bulan perkahwinan kami, arwah datang ke rumah untuk majlis pertunangan kakakku pula. Tapi pada masa tu, arwah sudah tidak berapa sihat kerana penyakit lelahnya. Dalam kesibukan majlis, aku sempat berbual dengan arwah dan arwah bertanya kepadaku samada sudah berisi atau belum. Tetapi ketika itu kami belum lagi ada rezeki. Dan arwah juga sempat memberi sedikit nasihat dan dorongan. Lama selepas itu, dalam putaran waktu berlalu dengan berbagai macam perkara, kami dikhabarkan dengan keuzuran arwah kerana penyakit paru-parunya. Arwah berulang-alik keluar masuk hospital. Doa kami kirimkan semoga arwah diberikan kesihatan yang baik.

Kami sempat menziarahi arwah semasa beliau di hospital K.Krai. Pada masa itu, kami pulang ke kampung selepas aku melahirkan anak kami yang pertama ini dan ketika itu Bashir tidak sampai lagi umurnya 40 hari. Di hatiku, ingin bertemu dengan arwah dan ingin kenalkannya dengan anak kami ini, tetapi apabila kami bertemu, arwah pada masa itu dalam keadaan sangat uzur. Penyakitnya telah banyak mengubah fizikal arwah. Tubuhnya menjadi kurus tidak berisi kerana tiada selera makan. Hanya mengharap khasiat dari meminum susu. Masa tu arwah sempat bercerita kepada mak bahawa dia sebelum ini tidak suka minum susu sebab itulah apabila sakit ini tulang-tulangnya tidak berapa kuat lagi. Sedih juga apabila melihat keadaannya ketika itu. Dua hari selepas itu, keluarganya mengadakan majlis doa selamat juga akad nikah anaknya yang sulung. Kami diberitahu bahawa perancangan untuk mengadakan pernikahan anaknya adalah semata-mata untuk arwah. Supaya arwah dapat melihat perkahwinan anak sulungnya.

Balik dari kami menziarahinya dari hospital, hati ku amat tersentuh dengan peringatan Ingat 5 sebelum 5. Antaranya 'Ingat Muda sebelum Tua' dan 'ingat Sihat sebelum Sakit'. Aku kongsikan perasaan dengan mak. Bahawa terasa kekuasaan Allah dalam kejadian ini. Kerana dari muda tiba-tiba sahaja kita boleh berubah kelihatan seperti sudah tua dan dari tubuh badan yang sihat boleh jadi tiba-tiba sahaja kita jatuh sakit atau meninggal. Mak pula menambah bahawa Allah hanya menguji hamba-hambanya yang terpilih untuk menerima ujiannya seperti ini. Allah telah menguji arwah dengan kesakitan dengan harapan terleburlah segala dosa-dosanya dan termasuklah dia dan keluarga dalam kalangan orang-orang yang sabar. Kerana kami tahu arwah dan keluarga telah banyak berbuat kebaikan di dunia ini. Tersembunyi hikmah disebalik ujian ini. Untuk mendapat nikmat yang lebih besar dari Allah atas kebaikan-kebaikan mereka.

Tetapi semasa majlis walimatulurus anaknya pada hari keempat hari raya tahun lepas, arwah kelihatan sihat sedikit dari sebelumnya. Kami gembira melihat perubahan tersebut. Itulah kali terakhir aku melihatnya. Jun baru ni hanya sempat berjumpa abe Lie di majlis kahwin k.Yani. dan kami hanya diberitahu bahawa arwah telah masuk hospital lagi. sehinggalah pagi ini mendapat khabar beliau telah tiada lagi....

'Ingat Hidup sebelum Mati'...

"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati..." Surah Ali Imran: Ayat 185

"Ya Allah, tempatkanlah arwah dalam rahmat & kasih sayangMu. Dalam kalangan orang-orang yang soleh & solehah. Berikanlah kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarganya. Ya Allah, berikanlah kami petunjuk, taufik dan hidayahMu. Jadikanlah kami orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Janganlah Kau pesongkan hati-hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kehidupan yang terbaik kepada kami di dunia ini dan jadikanlah bagi kami pengakhiran yang terbaik....Hanya kepada Engkau sahajalah Ya Allah kami bermohon..."


Kenangan arwah (bertudung merah dan tersenyum) bersama keluarganya, adik & sahabatku di majlis walimahku 2 tahun yang lepas...

June 29, 2010

13 Months Old - Standing & Walking...

Alhamdulillah, masuk 13 bulan Bashir sudah pandai bangun dan berjalan dengan sendiri. Walaupun awalnya masih tidak berapa stabil tetapi cukup membuatkan umi bangga dengan semangat anak umi ni. Awal proses berjalan Bashir adalah di kampung. Kita balik ke Kelantan untuk majlis perkahwinan cik Nie Bashir pada 6 Jun lalu. Mungkin suasana kita di kampung bersama ahli keluarga yang lain mempengaruhi Bashir untuk cepat melangkah berbanding hanya kita bertiga sahaja di rumah ini. Satu kenangan buat Cik Nie Bashir bersempena majlis Perkahwinannya... dan sekarang ini Bashir sudah pandai berjalan dengan baik.

Umi berharap semoga nikmat kaki yang Allah kurniakan kepada kita untuk berjalan ini kita gunakan sebaiknya sebagai hambaNya yang diredhai. Berjalan dan melangkah untuk sentiasa dekat kepada Allah sayangku... Insya Allah!

Pertama kali melangkah sendiri di halaman rumah

Pertama kali berjalan di atas rumput =)

Terkadang terjatuh. Lumrah hidup kita jatuh bangun. Semoga jatuh ini menjadikan kita lebih semangat untuk terus berusaha!

Inilah Bashir Solihin yang terbaru (27 Jun 2010)... jalan2 di Putrajaya =D

June 18, 2010

.................................

dah lama tak update blog ni... terasa rindu untuk catat sesuatu di sini. tapi sebenarnya tiada idea cerita mana untuk dikongsikan sekarang, walaupun bermacam-macam perkara yang berlaku sehingga hari ini. fikiran terasa sarat dengan kerja-kerja yang perlu dibuat. banyak yang tertangguh. sarat juga dengan kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidup ini. semuanya membuatkan ku untuk berfikir dan berfikir.... mencari solusi barangkali atau menkaji mengapa, kenapa dan apa-apa la.... yang pasti aku mesti membuat perubahan! need to be changed..... ya Allah ku mohon bantula kami.....

March 25, 2010

Denyut Kasih Medik


Tajuk : Denyut Kasih Medik
Pengarang : Dr Farhan Hadi
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
ISBN : 978-967-5102-76-9
Mukasurat : 390 Halaman

Sinopsis:

Sebuah novel yang mengisahkan misi seorang doktor muda dalam memperjuangkan syariat Islam di hospital ketika bergelar doktor pelatih (houseman). Ia juga kisah masyarakat kerana menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat. Bukan itu sahaja, ia kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik, ia bukan hanya menyentuh fiqh perubatan bahkan turut menyelitkan fiqh wanita dan fiqh cinta. ...Nikmatilah satu kisah indah yang sungguh membina, Denyut Kasih Medik.

Komen Saya .....
Alhamdulillah, dalam kesibukan seharian dapat juga saya menghabiskan novel ini. Sebenarnya, telah lama ternanti-nanti sebuah novel yang berkisar mengenai perubatan ataupun kehidupan di hospital. Dulu pernah juga seorang kawan menceritakan pengalaman-pengalamannya sebagai pelajar perubatan di hospital sehinggalah dia menjadi doktor pelatih. Pada masa itu, saya mencadangkan pada dia supaya menulis buku bagi berkongsi pengalaman, cerita dan perasaannya sebagai seorang doktor. Beliau juga menyebut bahawa dia memang berhasrat untuk menerbitkan sebuah buku. Saya berharap semoga beliau akan menerbitkan sebuah bukunya pada masa akan datang.

Mengenai buku ini, saya memang teruja untuk membacanya memandangkan ianya berkisar mengenai sebuah kehidupan seorang doktor yang muda lagi soleh. Catatan kehidupan doktor yang memulakan tugasnya sebagai doktor pelatih dengan penuh ketabahan, kesabaran dalam mengharungi segala cabaran dan penat lelah membantu masyarakat. Doktor muda ini bukan hanya merawat pesakit pada zahirnya sahaja tetapi merawat jiwa dan iman setiap pesakitnya supaya kembali kepada Pencipta segala kesakitan. Doktor muda ini berusaha mengaplikasikan segala ajaran Islam dalam segenap kehidupannya supaya semuanya menjadi ibadah di sisi Allah SWT. Ianya menjadikan kita merasa bahawa indahnya kehidupan yang berlandaskan ajaran Islam sepenuhnya. Juga menunjukkan bahawa Islam itu mudah untuk semua dan betapa Allah sayang kepada setiap hamba-hambanya.

Sebuah buku yang sangat mendidik dan berinformatif iaitu kita dibentangkan dengan info-info menarik mengenai fiqh perubatan, fiqh wanita juga fiqh cinta dengan firman-firman dari Al-Quran dan dalil-dalil dari hadis-hadis yang sahih. Buku ini boleh dijadikan sebagai buku rujukan untuk semua....syabas untuk penulis kerana berjaya membawa sebuah kehidupan yang berlandaskan ajaran Islam sebenar dan sepenuhnya untuk tatapan masyarakat umum.

March 6, 2010

Bashir dh 10 bulan...

hari ni Bashir dh pandai turun katil sendiri...bila Bashir sedar dari tidur pagi tadi terus merangkak naik atas umi ke tepi katil. then Bashir pusing dulu untuk pastikan kaki yang turun dulu..tanpa umi pegang bashir berjaya turun katil tu sendiri..hebat anak umi ni. baru umi ajar beberapa kali sebelum ni, bashir dah pandai buat sendiri..pas dah dapat turun katil tu, meleret je bashir senyum sebab dah berjaya kan! (",)

February 17, 2010

Cupcakes Dari Kakak...

Surprised from my sister...thanks a lot!





Gambar dari Babycakes2u.com

February 10, 2010

Hadiah Dari Suami...



Selamat Hari Lahir, Isteriku
Kuucap Terima Kasih

Kerana Engkau Setia Di Sisiku

Tidak Pernah Kudengar Lafaz Jemu Dari Bibirmu

Dengan penuh kerelaan Kau Taburkan Khidmatmu.

Selamat Hari Lahir, Sayangku

Kuucap Terima Kasih

Kerana Engkau Rela Aku Jadi Teman Hidupmu

Tidak Pernah Menyesal

Sanggup Melahir Zuriatku.

Selamat Hari Lahir, ...Kekasihku

Kuucap Terima Kasih

Kerana Sanggup Berkongsi Suka Duka

Dan Membuat Aku Merasa Tenang Dan Bahagia

Takdir Menemukan Kita

Engkau Satu Dalam Sejuta

Aku Beruntung Kerana Berpeluang

Untuk Berteduh Di Bawah Pohon Kasihmu.

Selamat Hari Lahir, Cintaku

Kuucap Terima Kasih

Kerana Engkau Rela

Melayari Bahtera Kehidupan Bersamaku.

.: Sempena Hari Lahir Ke-27 Isteriku pada 10 Feb 2010 :.


Suamiku... Terima kasih atas segalanya...
Semoga cinta & kasih sayang kita dalam keberkatan Ilahi ~ I'll be loving you... for the rest of my life... ~