July 16, 2010

Bila Tiba Masanya...

Jam 12 lebih pagi tadi, kami dikejutkan dengan pemergian ibu sepupu kami di kampung. Ayah dan adik telefon mengkhabarkan berita ini setelah ayah diberitahu oleh abe Lie, suami arwah bahawa arwah telah pergi dalam jam sebelas lebih. Terasa sayu, sedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang yang sangat baik dan penyayang dan pemurah sepanjang hidupnya. Tidak sangka tarikh 16 Julai menjadi tarikh pemergiannya setelah lama bersabar, tabah menanggung sakit ujian Allah kepadanya. Semoga arwah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh & solehah serta dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Tidak terbalas segala budi baiknya kepada kami sekeluarga sepanjang hidupnya. Sentiasa bermurah hati membantu tanpa diminta tidak kira wang ringgit dihulur, tenaga dicurahkan atau masa diluangkannya. Arwah dan keluarga hidup bersederhana, rendah diri walaupun dari kalangan orang yang berharta.

Tak kulupa pada hari pertunangan dan pernikahan kami dua tahun yang lepas, beliau dan keluarganyalah yang banyak membantu menjayakan majlis. Tidak terhitung budi baik yang mereka taburkan kepada kami. Dari pagi sampai malam, mereka luangkan masa untuk membantu. Membeli dan melengkapkan segala macam untuk majlis kami. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas segala kebaikan mereka.... Selepas majlis perkahwinan kami di kedua-dua belah pihak, arwah menjemput pula kami datang ke rumahnya. Kami dirai penuh istimewa dengan jamuan makan. Amat terharu kerana bukan sahaja mereka banyak membantu tetapi sanggup pula raikan kami. Sebelum pulang, kami dibekalkan pula dengan hadiah dari mereka sekeluarga. Ya Allah....

Juga tak kulupa setelah dua bulan perkahwinan kami, arwah datang ke rumah untuk majlis pertunangan kakakku pula. Tapi pada masa tu, arwah sudah tidak berapa sihat kerana penyakit lelahnya. Dalam kesibukan majlis, aku sempat berbual dengan arwah dan arwah bertanya kepadaku samada sudah berisi atau belum. Tetapi ketika itu kami belum lagi ada rezeki. Dan arwah juga sempat memberi sedikit nasihat dan dorongan. Lama selepas itu, dalam putaran waktu berlalu dengan berbagai macam perkara, kami dikhabarkan dengan keuzuran arwah kerana penyakit paru-parunya. Arwah berulang-alik keluar masuk hospital. Doa kami kirimkan semoga arwah diberikan kesihatan yang baik.

Kami sempat menziarahi arwah semasa beliau di hospital K.Krai. Pada masa itu, kami pulang ke kampung selepas aku melahirkan anak kami yang pertama ini dan ketika itu Bashir tidak sampai lagi umurnya 40 hari. Di hatiku, ingin bertemu dengan arwah dan ingin kenalkannya dengan anak kami ini, tetapi apabila kami bertemu, arwah pada masa itu dalam keadaan sangat uzur. Penyakitnya telah banyak mengubah fizikal arwah. Tubuhnya menjadi kurus tidak berisi kerana tiada selera makan. Hanya mengharap khasiat dari meminum susu. Masa tu arwah sempat bercerita kepada mak bahawa dia sebelum ini tidak suka minum susu sebab itulah apabila sakit ini tulang-tulangnya tidak berapa kuat lagi. Sedih juga apabila melihat keadaannya ketika itu. Dua hari selepas itu, keluarganya mengadakan majlis doa selamat juga akad nikah anaknya yang sulung. Kami diberitahu bahawa perancangan untuk mengadakan pernikahan anaknya adalah semata-mata untuk arwah. Supaya arwah dapat melihat perkahwinan anak sulungnya.

Balik dari kami menziarahinya dari hospital, hati ku amat tersentuh dengan peringatan Ingat 5 sebelum 5. Antaranya 'Ingat Muda sebelum Tua' dan 'ingat Sihat sebelum Sakit'. Aku kongsikan perasaan dengan mak. Bahawa terasa kekuasaan Allah dalam kejadian ini. Kerana dari muda tiba-tiba sahaja kita boleh berubah kelihatan seperti sudah tua dan dari tubuh badan yang sihat boleh jadi tiba-tiba sahaja kita jatuh sakit atau meninggal. Mak pula menambah bahawa Allah hanya menguji hamba-hambanya yang terpilih untuk menerima ujiannya seperti ini. Allah telah menguji arwah dengan kesakitan dengan harapan terleburlah segala dosa-dosanya dan termasuklah dia dan keluarga dalam kalangan orang-orang yang sabar. Kerana kami tahu arwah dan keluarga telah banyak berbuat kebaikan di dunia ini. Tersembunyi hikmah disebalik ujian ini. Untuk mendapat nikmat yang lebih besar dari Allah atas kebaikan-kebaikan mereka.

Tetapi semasa majlis walimatulurus anaknya pada hari keempat hari raya tahun lepas, arwah kelihatan sihat sedikit dari sebelumnya. Kami gembira melihat perubahan tersebut. Itulah kali terakhir aku melihatnya. Jun baru ni hanya sempat berjumpa abe Lie di majlis kahwin k.Yani. dan kami hanya diberitahu bahawa arwah telah masuk hospital lagi. sehinggalah pagi ini mendapat khabar beliau telah tiada lagi....

'Ingat Hidup sebelum Mati'...

"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati..." Surah Ali Imran: Ayat 185

"Ya Allah, tempatkanlah arwah dalam rahmat & kasih sayangMu. Dalam kalangan orang-orang yang soleh & solehah. Berikanlah kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarganya. Ya Allah, berikanlah kami petunjuk, taufik dan hidayahMu. Jadikanlah kami orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Janganlah Kau pesongkan hati-hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kehidupan yang terbaik kepada kami di dunia ini dan jadikanlah bagi kami pengakhiran yang terbaik....Hanya kepada Engkau sahajalah Ya Allah kami bermohon..."


Kenangan arwah (bertudung merah dan tersenyum) bersama keluarganya, adik & sahabatku di majlis walimahku 2 tahun yang lepas...